KUCHING: Jangan gadaikan masa depan Sarawak dengan memilih parti yang gagal, kata Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Tegasnya, rakyat Sarawak perlu memilih kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab dalam memastikan kesinambungan pembangunan di negeri ini.
“Masa depan Sarawak terletak di tangan orang Sarawak. Kita (GPS) membangunkan Sarawak dengan acuan sendiri dan hanya kita yang dapat memastikan kemakmuran dinikmati oleh orang Sarawak.
“Janganlah kita menggadaikan masa depan kita dengan memilih parti yang bukan sahaja gagal menunaikan janji dan menipu rakyat, bahkan bersekongkol dengan mereka yang gagal memimpin negara,” katanya.
Beliau yang berkata demikian dalam ucapannya ketika melancarkan Manifesto GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam ini.
Tema manifesto itu ialah “Menjamin Kestabilan, Kemakmuran dan Kegemilangan Sarawak”.
Jelas Abang Johari, GPS telah meletakkan asas pembangunan yang strategik untuk memastikan kemajuan berterusan dan pelaksanaan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.
Namun tambahnya lagi, usaha membangunkan Sarawak ini hanya akan dapat direalisasikan sekiranya GPS terus diberi mandat untuk menerajui kepimpinan negeri ini melalui Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) nanti.
“Kepimpinan GPS yang berpengalaman, berwibawa, mempunyai integriti yang tinggi dan rekod pencapaian yang cemerlang akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sarawak.
“GPS perlukan sokongan padu rakyat Sarawak. Sokong dan undilah GPS untuk Sarawak yang Stabil, Makmur dan Gemilang, demi menjadikan Sarawak Maju Menjelang 2030,” ujarnya lagi.
Pelancaran itu dihadiri dua timbalan ketua menteri, Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Pengarah Operasi PRN-12 dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Manifesto GPS PRN-12, Presiden SUPP, Dato Sri Dr Sim Kui Hian, pemangku presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang juga majlis ahli kepimpinan tertinggi GPS, Datuk Joseph Salang Gandum, wakil presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Dato Anthony Nogeh dan Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Datuk Amar Asfia Awang Nassar.
Sumber dari : Jiwa Bakti